23 Disember 2011

NFC - SEORANG DATUK DITAHAN REMAN

KUALA LUMPUR - Seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk' ditahan reman selepas cuba menyogok beberapa pegawai polis yang sedang menjalankan siasatan kes jenayah komersial dipercayai ada kaitan dengan skandal Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC).

Ahli pernigaan berumur 45 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Perdana kira-kira jam 4.06 petang kelmarin.

Pengarah JSJK, Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata, ahli perniagaan yang menjalankan perniagaan Agensi Pekerja Asing dan syarikat pengangkutan teksi ini ditahan reman selama dua hari bermula semalam bagi membantu siasatan.

"Suspek kini diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan selanjutnya.

"Siasatan awal dapati suspek ditahan di Cheras tiga minggu lalu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu serta bersabit satu laporan kes sama di Bercham, Ipoh, Perak," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis JSJK, semalam.

Ketika ditanya berhubung nilai sogokan yang cuba diberikan serta adakah suspek mempunyai kaitan dengan kes skandal NFC, Syed Ismail bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

"Kita tak boleh komen tentang nilai sogokan itu dan kes ini kita serah kepada SPRM untuk siasatan," katanya.

Difahamkan, suspek dipercayai ada pertalian keluarga dengan orang kenamaan.

Dalam perkembangan lain, Syed Ismail berkata, setakat ini, seramai 27 individu sudah memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung isu skandal NFC dan mengesahkan tiada sebarang tangkapan dibuat.

Sementara itu, Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali dalam satu kenyataan semalam, mengesahkan berhubung siasatan yang dijalankan pihaknya terhadap seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk' yang ditahan kerana menawarkan rasuah kepada beberapa pegawai kanan polis yang dipercayai ada kaitan dengan kes NFC.

"Kita sudah terima kes dan sentiasa bekerjasama dengan polis dalam menjalankan siasatan membabitkan kes rasuah dan penyelewengan mengikut bidang kuasa yang diperuntukkan oleh undang-undang," katanya. sinar harian

21 Disember 2011

HIPOKRIT - AKHIRNYA CHEDET MENGAKU JUGA

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui bahawa Malaysia meminjam wang daripada Bank Dunia ketika pentadbiran beliau namun menegaskan bahawa beliau tidak pernah menulis kepada badan berkenaan untuk mendapatkan dana.

Tiada surat mahupun permintaan bertulis dibuat oleh beliau kepada Bank Dunia, kata Mahathir menjawab dakwaan yang ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau pernah berbuat demikian ketika krisis kewangan 1999.

"Jika Anwar boleh menunjukkan bukti sebaliknya, dia patut berbuat demikian. Jika tidak dia mesti bersumpah dengan al-Quran di masjid bahawa dia tahu apa yang dia kata itu benar.

Saya bersedia untuk bersumpah bahawa saya tidak pernah meminta pinjaman daripada Bank Dunia," katanya lagi dalam tulisan di blog beliau, chedet.co.cc, semalam.

Katanya lagi, Malaysia enggan menerima dana pinjaman International Monetary Fund (IMF) daripada Bank Dunia kerana "bantuan yang dikatakan itu akan memburukkan lagi keadaan."

Mahathir mengambil alih kedudukan sebagai menteri kewangan selepas Anwar dipecat dan dipenjarakan pada 1998.

Katanya lagi, pinjaman sebanyak USD300 juta ditandatangani dengan Bank Dunia pada Jun 1998, ketika Anwar masih menjadi menteri kewangan, untuk makanan, pendidikan tinggi dan program mikrokredit.

Sebanyak USD100 juta turut ditandatangani untuk bantuan teknikal pada Mac 1999, namun hanya USD11.94 juta dikeluarkan.

Pinjaman sektor sosial sebanyak USD60 juta dihentikan selepas pengeluaran sebanyak USD60,000 manakala satu pinjaman pendidikan dihentikan selepas sejumlah USD244 juta dikeluarkan.

Kedua-duanya diluluskan pada Mac selepas Anwar dipecat daripada jawatan menteri kewangan.

18 Disember 2011

PAPAGOMO SERANG BLOGGER UMB

Para blogger ternama pro-kerajaan terus tidak sehaluan, berpecah belah dan tidak segan silu menyerang antara satu sama lain meskipun telah diberitahu pucuk pimpinan UMNO untuk melenyapkan persengketaan itu menjelang Pilihanraya Umum ke-13 yang semakin hampir.

Pergaduhan di kalangan blogger pro-kerajaan semakin menjadi-jadi sepanjang tahun ini di mana secara terang-terangan mereka menulis di blog masing-masing mengenai pertikaian yang dipercayai berpunca dari persoalan ‘siapa dapat apa?’.

Papa Gomo menggelar blogger Bigdog dan Rocky Bru sebagai ‘anjing’ dan ‘Rockyngah’, manakala blogger Unit Media Baru (UMB) Tun Faisal menghentam Papa Gomo sebagai lupa daratan serta blogger jalanan.

Baru-baru ini Papa Gomo telah menyerang lagi Bigdog di dalam tulisannya mengenai isu menaiki kapal selam Scorpene KD Tun Razak sempena Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2011.

Dalam tulisannya, Papa Gomo menyatakan bahawa Bigdog telah melakukan khianat kepadanya kerana membocorkan maklumat kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, bahawa dia akan turut bersama Setiausahan DAP itu ketika menyelam bersama KD Tun Razak, Jumaat lalu.

“Apa pun Musuh Dari Dalam Lebih Merbahaya dari luar….. Terima Kasih Blogger Big Dog atas Pengkhianatan yang anda lakukan dalam menjadi Mulut Tempayan kepada Lim Guan Eng,” kata Papa Gomo di blognya.

Selain mendakwa dianiaya Bigdog, Papa Gomo turut mempersoalkan mengapa tidak seorang pun mempertikaikan tindakan Bigdog yang menaiki helikopter Superlinks bersama Guan Eng ketika itu.

Papa Gomo dan Bigdog pernah bergaduh di blog mengenai isu kononnya Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim, telah merogol seorang amahnya yang merupakan seorang warga Indonesia.

Di dalam kes itu, Papa Gomo mendakwa Bigdog telah menjadi punca fitnah tersebut dengan menyebarkan maklumat kepada blogger Rocky Bru untuk menimbulkan dakwaan itu sehingga menjadi bahan serangan para blogger pro-Pakatan Rakyat.

Dakwaan berkenaan terbukti palsu apabila Rais menang di dalam saman beliau terhadap seorang blogger pro-Pakatan Rakyat, Amizuddin Ahmat, dan pemilik blog sharpshooterblogger itu diarahkan mahkamah untuk membayar RM300,000 kepada Menteri berkenaan.

Para pemerhati blog-blog politik di negara ini juga menyaksikan pertelingkahan berlaku di antara Papa Gomo dan Tun Faisal, yang saling menyerang serta mengutuk antara satu sama lain.

Tun Faisal misalnya menuduh Papa Gomo sebagai penipu, ego, bongkak, lupa daratan dan menyerang peribadi blogger tersebut yang dikatakan berpendidikan rendah serta menyara hidup dengan berniaga barangan tiruan di uptown.

Papa Gomo membalas dengan menggelar Tun Faisal sebagai ‘Tun F**kzal’ dan mengutuk Ketua UMB itu sebagai bacul serta berbohong di blognya.

Mereka turut bergaduh di laman sosial Facebook dan Twitter mengenai soal remeh temeh berkenaan peruntukan, disiplin, bodek membodek Pak-Pak Menteri serta modus operandi “psy-war”.

Persoalannya kini, di kala para pemimpin Barisan Nasional (BN) membayangkan bahawa Pilihanraya Umum ke-13 sudah semakin hampir, mengapa blogger-blogger pro-kerajaan ini masih berbalah dan bergaduh sesama sendiri lagi?

Tidakkah mereka rasa malu pada pembaca dan blogger pro-pembangkang yang tertawa melihat sikap keanak-anakan yang dipamerkan?

Apakah dengan menggelar rakan seperjuangan yang lain dengan gelaran-gelaran keji sebegitu mampu memenangkan BN pada PRU ke-13 nanti?

Sampai bila mereka mahu menunjukkan ketidakmatangan mereka dan bertelingkah sedangkan mereka berada di dalam satu jemaah yang berjuang demi Islam, bangsa dan negara?

Itu baru jadi blogger.

Kalau mereka dilantik jadi pemimpin, calon BN, ADUN, Ahli Parlimen atau Menteri, mungkin huru-hara jadinya nanti.

Justeru itu, sudah-sudahlah bergaduh macam budak-budak dan sikap tersebut hanya akan membuat Pakatan Rakyat ketawa terbahak-bahak saja. Merapatkan saf perjuangan adalah lebih baik ketika ini– Mynewshub.my