Jika sebelum ini mereka diabaikan dari segala aspek, kini mereka bukan sekadar disogokkan dengan wang, tetapi juga diberikan jalan tar hingga ke hadapan rumah dan diperbaiki longkang-longkang yang rosak.
Beberapa orang penduduk di kawasan Merlimau ketika ditemui berkata, dengan itu ternyata, mereka bukan ikhlas hendak menolong, tetapi hanyalah untuk memancing undi bagi mendapat kemenangan dalam pilihanraya.
Seorang penduduk yang ditemui, Ismail Abdul Rahman, 77, berkata, menjelang PRK Dun Merlimau 6 Mac ini, beliau juga turut didatangi para pemimpin Umno dan turut diberikan jalan tar hingga ke hadapan rumahnya.
Menurut beliau, bantuan seperti itu turut diberikan kepada beberapa orang jirannya yang lain, sehingga menyebabkan mereka menjadi hairan dengan apa yang diberikan itu.
Katanya, pada hal, beliau dan jiran-jirannya tidak pernah memohon bantuan sedemikian dan mereka sendiri dapat mengagak berapa banyak wang rakyat yang disalahgunakan oleh para pemimpin Umno atau BN untuk kepentingan mereka.
"Sebenarnya, dah 45 tahun saya tak dibantu apa pun oleh kerajaan. Kalau ada pun bantuan seperti ini kepada orang ramai yang juga pernah saya kecapi hanyalah zaman Tun Razak dulu.
"Jalan tar di hadapan rumah itu pula bukanlah penting sangat. Tak diberikan jalan tar pun kami boleh gunakan jalan sedia ada dengan selesa untuk berulang alik ke rumah. Tapi diberikan jalan tar kami ambil. Diberikan apa saja pun kami ambil," katanya.
Beliau yang juga salah seorang pengundi di kawasan itu memberitahu, para pemimpin Umno kini amat terdesak sehingga sanggup memberikan apa sahaja kepada para pengundi terutama di kawasan-kawasan peti undi yang tidak memihak kepadanya.
"Dengan itu, ternyata, kita tidak perlu takut untuk menyokong PAS atau pembangkang. Jika dekat pilihanraya, mereka pasti cari kita dan berikan bantuan (yang sebenarnya sogokan) kepada kita.
"Kepada para penyokong Umno sendiri pula, yang dapat tu dapatlah, yang tak dapat pun cukup banyak, tetapi kepada para penyokong PAS, kami hanyalah mengharapkan bantuan Allah," katanya.
Manakala rakannya, Rusnan Wahab, 52, pula mempersoalkan bantuan wang yang diberikan oleh para pemimpin Umno dan kerajaan Melaya kepada sesetengah nelayan di kawasan itu yang berjumlah antara RM200 hingga RM300 seorang.
"Bantuan itu memang cukup kita faham. Ia adalah sogokan untuk pilihanraya. Tetapi apa maknanya diberikan wang? Kalau betul ikhlas nak bantu nelayan bukan wang sebanyak itu yang diperlukan. Wang sebanyak itu apalah sangat dan berapa hari boleh tahan?
"Kalau benar-benar nak bantu, berilah bantuan dalam bentuk lain yang diperlukan nelayan di kawasan itu seperti enjin, jaring dan seumpamnya kerana itu semua mahal dan lebih diperlukan nelayan. Tetapi enjin dan jaring tak pula diberikan," katanya.
Sementara seorang lagi penduduk yang ditemui, Muhammad Rashid, 32, berkata, longkang di hadapan rumahnya sebenarnya masih elok lagi.
"Tetapi yang peliknya, longkang itu pun turut diperbaharui menjelang PRK Dun Merlimau 6 Mac ini kononnya untuk keselesaan orang ramai, walaupun ia sebenarnya tak perlu diperbaiki sekarang, tetapi bila benar-benar perlu diperbaiki nanti," katanya sambil ketawa sinis.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan